Riefismi's Blog
Just another WordPress.com weblog

PUNCA-PUNCA PENCEMARAN DALAM AGAMA.


PENGENALAN.

Agama Islam adalah agama yang murni dan fitrah ketika ia diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW oleh Allah SWT. Agama Islam adalah agama yang mudah dan indah, namun lumrah dunia setiap benda yang wujud di dalam arus masa pastinya akan mengalami perubahan, begitu jugalah dengan agama.

Namun, Allah SWT tidak akan membiarkan perkara tersebut berlaku kepada agamaNya, untuk itu Allah SWT telah membangkitkan dari generasi ke generasi orang-orang yang akan menjaga agamaNya dan membersihkannya dari sebarang pencemaran sama ada secara sengaja atau sebaliknya. Dan mereka yang dimaksudkan adalah golongan yang tertolong, yakni Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang kekal di atas jalan kebenaran.

Antara pencemaran yang hebat melanda agama pada masa mutakhir ini adalah khurafat dan bid’ah yang membawa kepada kesyirikan. Oleh itu, dalam penulisan kali ini, penulis ingin membincangkan serba sedikit tentang perkara-perkara yang menyebabkan pencemaran tersebut berlaku, semoga dengan mengetahui punca-punca masalah tersebut kita dapat menghindarkan diri daripadanya, seterusnya memelihara agama Islam yang mulia ini. Insya’ Allah!

Sebelum diteruskan kepada perbincangan yang seterusnya, penulis ingin memohon berbanyak-banyak kemaafan sekiranya ada kandungan didalam penulisan ini yang menyinggung mana-mana pihak. Kebenaran itu sesungguhnya selalu pahit untuk ditelan. Sesungguhnya tidak ada insan yang terlepas dari berbuat kesilapan dan sebaik-baik orang yang berbuat kesilapan itu, adalah orang yang segera membetulkan kesilapannya.

PUNCA-PUNCA PENCEMARAN AGAMA.

Pertama: Melanggar Garis Panduan Ilmu.

Dalam mengistinbatkan hukum agama seseorang mestilah merujuk kepada al-Qur’an terlebih dahulu, kemudian as-Sunnah, Ijmak, dan seterusnya melakukan ijtihad; sekiranya perbahasan tentang satu perkara itu tidak terdapat perbahasannya dalam al-Qur’an, as-Sunnah dan al-Ijmak maka seseorang itu barulah seseorang itu berijtihad dengan kaedah-kaedah seperti al-Qias, al-‘Urf, maslahat al-Mursalah dan sebagaimana yang ditetapkan dalam kitab-kitab Usul Feqh. Namun sebelum berpindah rujukan dari satu sumber hukum kepada sumber hukum yang lain, seseorang itu mestilah telah berusaha mengkaji dengan sedaya upaya di dalam sumber hukum yang sebelumnya.

Namun apa yang kita perhatikan sekarang ini, kebanyakan daripada kita begitu mudah mengeluarkan hukum dengan sewenang-wenangnya tentang satu hukum yang mereka tidak jelas atau tidak begitu arif tentangnya sebelum berusaha dengan sedaya upaya melakukan pengkajian terlebih dahulu; sama ada dengan menelaah al-Qur’an, as-Sunnah atau yang lebih mudah merujuk kepada kitab-kitab Feqh yang muktabar. Akhirnya kerana sikap ini, terkeluarlah hukum yang tanpa disedari bercanggah dengan syara’ bahkan menambah-nambah yang tidak ada dalam agama.

Perkara ini bukan sahaja berlaku kepada golongan yang jahil ilmu agama tetapi lebih teruk, perkara ini berlaku kepada mereka yang bergelar tokoh-tokoh agama, dan inilah yang amat teruk sekali. Sebagai seorang tokoh agama, yang dipandang tinggi oleh  masyarakat, masyarakat akan menganggap apa saja yang keluar dari mulut mereka tentang agama adalah benar semata, tanpa usul periksa.

Ada pula yang beranggapan tidak salah mengeluarkan pendapat dengan sekadar ilmu yang kita miliki. Ada benarnya demikian, tetapi ianya hanya berlaku ketika situasi yang amat darurat yang memustahilkan kita untuk melakukan pengkajian, sedangkan ini tidak berlaku dalam zaman moden ini, yang memudahkan kita merujuk kepada mana-mana kitab Feqh yang muktabar.

Keadaan ini tidak berlaku di dalam bidang Feqh sahaja tetapi meluas ke seluruh bidang yang lain seperti pentafsiran al-Quran dan pemahaman hadis.  Contohnya untuk memahami sesuatu ayat al-Qur’an seseorang itu mestilah menafsirnya dengan al-Qur’an, hadis dan seterusnya. Namun yang berlaku sebaliknya ada yang melompat terus ke penafsiran menggunakan akal.

Perkara ini adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku, sepatutnya seorang agamawan itu mempunyai sifat wara’ yang tinggi, bukan hanya mementingkan dapat menjawab persoalan yang diajukan orang kepadanya. Janganlah kita berkata tentang satu perkara yang kita tidak ada ilmu mengenainya.

Firman Allah SWT dalam al-Qur’an:

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya setiap pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan diminta pertanggungan jawabnya.”[1]

FirmanNya lagi:

“Dan, janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidah kalian secara dusta, ‘Ini halal dan ini haram’, untuk mengadakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung.”[2]


Kedua: Kurang Teliti Dalam Penyampaian Hadis dan Riwayat.

Di zaman mutakhir ini, banyak hadis-hadis yang palsu tersebar dan tidak kurang juga hadis-hadis yang daif yang disangkakan sahih. Punca berlakunya perkara ini adalah akibat dari sikap kurang menitik beratkan untuk mengetahui darjat hadis atau riwayat dan kurangnya pengetahuan tentang syarat penyampaian hadis.

Memeriksa darjat sesuatu hadis atau riwayat adalah amat penting, ini adalah untuk mengelakkan berlakunya pendustaan terhadap orang yang kita sandarkan. Dan untuk meyampaikan sesuatu hadis, seseorang itu mestilah menjelaskan tentang darjat hadis atau riwayat yang disampaikannya. Sekiranya hadis itu sahih maka dinyatakan sahih dan begitu jugalah jika hadis itu daif maka hendaklah dinyatkan juga darjatnya. Ini adalah amat penting, kerana dibimbangi akan berlaku kekeliruan sekiranya tidak dijelaskan seperti pendengar menyangka hadis atau riwayat yang didengarnya sahih sedangkan ia sebenarnya palsu.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis:

“Cukuplah menjadi satu dosa bagi seseorang yang menceritakan segala yang dia dengari (tanpa mengkaji benar atau tidak)”[3]

Ketiga: Amal Mendahului Ilmu.

Seseorang yang beramal hendaklah mempunyai ilmu terlebih dahulu. Seseorang yang melakukan amal tanpa ilmu boleh jadi amalannya sia-sia dan tidak diterima. Di dalam masyarakat kita ada segelintir orang yang amalannya mendahului perbuatannya. Mereka beramal hanya ‘main ikut-ikut’ tanpa menghiraukan amalan yang mereka lakukan itu ada dalilnya atau pun tiada, dan terkadang kerana kejahilan mereka itu, mereka mengada-adakan sesuatu amalan yang mereka rasakan baik. Lalu apabila ada orang yang menyampaikan kepada mereka bahawa apa yang dilakukannya itu tidak ada dalilnya dalam agama, bahkan bercanggah, mereka tetap kekal dalam amalan tersebut.

Khalifah Umar Bin Abdul Aziz berkata:

“Sesiapa yang mengabdikan diri kepada Allah SWT tanpa ilmu, maka apa yang dia rosakkan lebih banyak daripada apa yang dia perbaiki.”[1]

Niat yang baik dalam beramal sahaja tidak cukup untuk pengabdian kepada Allah SWT, tetapi amalan itu mestilah bertepatan dan sesuai dengan ketentuan agama, barulah ia diterima Allah SWT.

Keempat: Taksub dan Ghulu.

Antara sikap yang menyebabkan berlakunya pencemaran adalah sikap taksub dan ghulu terhadap sesuatu golongan sehingga sanggup melakukan pemalsuan terhadap hadis dan riwayat serta menyelewengkan maksud-maksud nas dari makna yang sepatutnya.

Dan ini adalah seburuk-buruk sifat manusia, kerana sanggup melakukan pendustaan terhadap agama Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadis:

“Sesiapa yang menyebutkan sesuatu dariku sedangkan aku tidak pernah menyebutnya, maka dia telah menempah tempatnya di dalam neraka”[2]


KESIMPULAN.

Sekian serba sedikit punca pencemaran agama. Kesimpulan daripada penulisan ini, sebelum melakukan atau menyampaikan tentang satu perkara kita mestilah bersikap wara’ dan teliti. Ini adalah untuk mengelakkan berlakunya pencemaran atau pendustaan terhadap agama Allah SWT.

Ingatlah, apa yang kita pentingkan dalam beragama adalah kualiti, bukannya kuantiti. Sebagai contoh, tidak ada gunanya kita menghafal banyak hadis, sedangkan hadis yang kita hafaz itu adalah hadis palsu dan tidak ada gunanya kita memiliki banyak ilmu sedangkan ilmu itu bercanggah dengan hakikat yang sebenarnya[1]. Semoga apa yang disampaikan dapat memberikan manfaat kepada kita bersama dalam meneruskan misi dakwah ini agar kita terus kekal dijalanNya yang sesuai dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah Manhaj Salafus Soleh. Wallahu ‘alam.



[1] Surah al-Israa’: ayat 36

[1]Surah an-Nahl: ayat 116

[1] Hadis sahih riwayat Muslim – hadis nombor 5.

Ibn Hibban berkata: “Di dalam hadis ini terdapat larangan kepada sesiapa sahaja supaya tidak menyebut semua perkara (termasuk hadis) sehinggalah dia yakini itu adalah sahih.” (Rujukan: Tamam al Minnah Fi al Ta’liq ‘Ala Fiqh al Sunnah – Syeikh al Albani – kaedah nombor 11.)

[1] Ibnu Taimiyyah, Majmu’at al-Fatawa, ji: 14, ms:344-345 (dinukil dari Kitab Membela Islam, Tanggungjawab dan Disiplin karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Terbitan Karya Bestari SDN. BHD)

[1] Hadis sahih riwayat al Bukhari – hadis nombor 109.

[1] Ilmu itu adalah pengetahuan yang bertepatan dengan hakikat dan kebenaran, maksudnya orang yang banyak ilmu tetapi tidak bertepatan dengan hakikat yang sebenarnya maka ia adalah orang yang jahil atau sesat.





No Responses to “PUNCA-PUNCA PENCEMARAN DALAM AGAMA.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: